Kebesaran 27:93

Thursday, February 11, 2010 0 comments

salam w.b.t

Beberapa hari yang lalu menyaksikan hati saya berbolak-balik, terpukul secara kiasnya. Maka saya ambil peluang ini untuk mendamaikan kembali lautan hati, meredakan gelora di sanubari jua berlayar tenang ke samudera kalbu.


Saya cuba mengenangkan kembali, segala suka duka hidup bermain dengan kata-kata; banyaknya yang terzahir hanyalah perkara-perkara yang mendukacitakan. Satu demi satu kembali bermain di fikiran; dari gejolak hati hinggalah ke perasaan tidak puas hati dan putusnya hubungan komunikasi dengan sahabat. Terasa berat ingin menulis semula. Namun, alhamdulillah, kurniaan Tuhan berupa sahabat memainkan peranan. Bangkit kembali diri walau belum pulih dari gurisan di hati.


Saya masih belum mampu berfikir sebagaimana sebelumnya. Justeru, saya hanya lakarkan bagaimana secara umumnya pengalaman berkaitan lautan dan apa yang ada di dalamnya yang sedikit sebanyak menyentuh hati saya.

Subhanallah. Baru-baru ini saya berkesempatan untuk kedua kalinya ke Jabal Tursina (Jabal Musa), melihat kejadian alam dari sekecil-kecil pasir hinggalah ke sebesar-besar gunung-ganang yang berbatu itu. Ya, sehingga ke sebesar-besar gunung batu. Fizikalnya tampak hebat dengan tapak yang luas, ada yang tergantung tak ubah seperti batu bergolek.

Maha suci Allah yang mencipta alam ini. Tempat ini tempat dimana nabi Allah Musa A.S bermunajat, tempat persinggahan nabi Muhammad SAW kita singgah ketika untuk ke isra' mi'raj.

Masih tergiang di telinga ini apabila terfikirkan kata-kata ustaz hanif: ' sekurang-kurangnya dengan mendaki jabal tursina kita dapat merasai penat lelah dan pegorbanan nabi kita; manalah tahu jika setapak yang kita lalu itu salah satu tapak nabi kita kan.

Dalam hati ini berfikir,sedang gunung-ganang berbatu itu bertapak dengan taat pada Penciptanya disitu lah tanda-tanda kekuasaan yang mahu ditunjukkan agar makin bersyukur.Kita manusia selalu bangga diri dengan kurniaan, kelebihan, kepandaian; nun di banjaran gunung-ganang sana segenap isi bumi ini sentiasa bertasbih kepadaNya.

Di manakah kita, jika isi bumi sedalam lautan biru yang luas, sehampar padang pasir yang kering tandus atau hutan-hutan yang banyak memberi manfaat, seputih awan yang bergantungan tiada bertiang, segenap kicauan burung yang sentiasa ingat kepadaNya, kita pula lupa diri milik Allah, lupa ilmu milik Allah.

Sekadar peringatan buat yang sering terlupa, khususnya diri saya yang sering alpa dalam penulisan mahupun kehidupan.
Namun, pengalaman di jaulah ini lebih berharga buat saya berbanding pengalaman terperuk di rumah yang tiada faedahnya.

Tika diri berada di tengah padang pasir, yang hanya membezakan antara hidup dan mati, secara logikanya, hanyalah air dan makanan. Kiri dan kanan tiada tempat untuk berlindung. Betapa terkadang kita lupa pengharapan pada Allah SWT. Walau jelas pada lafaz, bagaimana pula yang terbisik di dasar hati? Sesekali kita mengharapkan melalui doa, namun acapkali terlupa menghadirkan hati untuk tawadhu’ dan membesarkan Ilahi.


Tika melihat curam gunung yang berbatu setinggi 2,285 meter, tidak putus-putus doa di bibir, mengharapkan pertolongan melalui syariatullah sambil kaki dan tangan begerak gagah menyusuri curam sambil angin dingin kencang yang menggetar segala anggota.

Barulah terfikir, tersentak iman di dada bahawa tiada yang mampu mengeluarkan diri dari susah dan keluh kesah, selain Dia Yang Maha Tinggi, Maha Sempurna, Maha Berkuasa atas tiap sesuatu.


Sesungguhnya kita ini cukup kerdil, cukup kecil. Namun Tuhan masih menaungi hamba-hambaNya. Tidak terasakah kita? Tidak cukup lagikah bukti di depan mata? Penciptaan yang sungguh kerdil, namun diangkat Allah SWT sebagai sebaik-baik ciptaan; ditinggikan martabatnya dengan akal dan nafsu yang membawa kebaikan; dikurniakan padanya segenap isi bumi sebagai pertanggungjawaban seorang khalifah; dikeluarkan darinya rahmatan lil ‘alamiin, Muhammad SAW. Ke mana syukur kita, ke mana kerendahan kita, ke mana ta'abud dan taqarrub kita?
Sekadar refleksi diri, disiarkan moga tersebar secebis hikmah buat yang membuka hati.

Ambillah segenap kebaikan yang ada boleh garap, yang lain tinggalkanlah ia buat saya merenung kembali diri yang serba kekurangan. Segala yang baik, hasanah itu datang dari Allah SWT; yang kurang, sayyiatin itu hadir dari kelemahan diri sendiri.



Dan katakanlah, "Segala puji bagi Allah, dia akan memperlihatkan kepadamu tanda-tanda kebesaran-Nya, maka kamu akan mengetahuinya. Dan Tuhanmu tiada lalai dari apa yang kamu kerjakan." (An-Naml: 93)

"(Al Quran) ini adalah penjelasan yang sempurna bagi manusia, dan supaya mereka mengetahui bahwasanya Dia adalah Ilah Yang Maha Esa dan agar orang-orang yang berakal mengambil pelajaran."(Ibrahim: 52)

====================

p/s: jaulah kali ni tak bawa cik osyin, jadi terpaksalah kebas gambar orang lain tuk masuk dalam entry :D

p/s I: next time letak gambar lagi. nantikan kemunculannya.uhu

Wallahu a'lam